Ini cerita minggu lepas.
Badan mula rasa letih. Sepanjang hari di depan computer melayan meeting online. Terkejut tengok jam di dinding sudah menunjukkan pukul 1 pagi. Melangkahlah keluar dari bilik kerja yang ditempatkan sebelah dapur rumah. Ruang besar dah pun gelap. Tidak rasa ganjil, memang malam buta sudah. Hanya hati terasa pilu sedikit, tidak terluang masa bersama keluarga tersayang ini hari.
Sambil berjalan ke bilik tidur, terdengar suara tangisan sedu-sedu yang tipis. Rasanya dari dapur. Sudah… sambil telan air liur sambil baca-baca dalam hati, slow-slow I jalan dan buka lampu dapur. Terkilan tapi lega apabila didapati bibik keluarga duduk menangis di meja dapur.
“Sir sir, sorry. Ani bukan sengaja nak kacau Sir tidur”, Ani memohon maaf di samping terperanjat atas kemunculanku. Telefon bimbit dipegang ditangan. Muka dua darah dagingnya terpapar jelas di kaca telefon. Satu putera, seorang lagi puteri.
Ani bibik rumah ChongWei semenjak 4 tahun lalu. Putih hati orangnya. Tahap dedikasi tidak dipersoalkan. Dah lama seisi keluarga menganggap Ani sebahagian keluarga. Memang setiap tahun Ani diberi peluang balik kampong di Indonesia tetapi disebabkan Covid, sudah menjelang 2 tahun Ani tidak jumpa keluarga dia.
Tergamam aku pada ketika itu.
“Ani, saya faham Ani sedih. Apa lagi sudah mau Raya. Bagitau Sir apa Ani mahu? Sir and Ma’am akan cuba sedaya-upaya”, ku tanya.
“Tiada apa-apa Sir. Ani tahu komplikasi Covid sekarang. Memang susah mahu keluar masuk negara”, dijawab Ani sambil mengesat air mata di pipi.
Aku seterusnya berkongsi perbualan ini bersama Mew Choo. Berpusing-pusing terus air mata bini I. Adeh, saat mcm ni pula I rasa semakin comel bini aku ni. Katanya, dia pun seorang ibu maka dia memang faham isi hati Ani.
Keesokannya, Mew Choo membawa Ani membeli baju Raya untuk Ani sekeluarga. Dan dilampirkan bersama duit raya, baju raya tersebut dihantar ke Indonesia. Harap-harap pemberian sedikit ini dapat mengubati kerinduan Ani kepada keluarganya.
Menjelang hari yang mulia ini, Chong Wei, Mew Choo sekeluarga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua yang menyambutnya.
Walaupun tidak senang, tapi kita cuba bersyukur dengan apa yang ada di depan Mata. Kami berdoa Raya tahun depan, Covid telah pun ditumpaskan. Kami berdoa tahun depan, datuk-datuk nenek-nenek boleh berpeluk ketat anak-cucu. Berjuadah makanan raya bersama. Bermain mercun bersama. Bergaul mesra bersama. Kami berdoa. Tak lama lagi, bersama lah semua.
Saya sudahi dengan ungkapan seperti tahun-tahun lepas. Mohon maaf ya. Seperti badminton dimulakan, kosong-kosong. Luv-all.